Usaha DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, dalam memperkuat Harimau Malaya dengan kehadiran pemain warisan kini semakin hampir menjadi kenyataan. Baginda sebelum ini telah menyatakan komitmennya untuk mendapatkan pemain warisan bagi memperkukuhkan pasukan kebangsaan dan berharap mendapat sokongan penuh daripada kerajaan serta Kementerian Belia dan Sukan bagi merealisasikan perkara ini.
Tunku Ismail mendedahkan bahawa sebanyak enam hingga tujuh pemain warisan telah dikenal pasti, dengan harapan mereka dapat memperoleh pasport Malaysia sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2027 bermula pada Mac ini. Kejayaan dalam mendapatkan pemain ini dilihat sebagai langkah penting untuk memastikan Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan dengan keputusan yang positif.
Perkembangan ini semakin hampir direalisasikan selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend, mengesahkan bahawa proses akhir mendapatkan pasport Malaysia untuk seorang pemain warisan dari Belanda kini sedang berlangsung. Selain itu, tiga lagi pemain turut berada dalam proses mendapatkan kerakyatan. Kehadiran pemain-pemain ini bukan sahaja akan memberi lebih banyak pilihan kepada pasukan kebangsaan tetapi juga meningkatkan peluang Malaysia untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan peringkat Asia.
Karisma serta kepimpinan Tunku Ismail memainkan peranan penting dalam meyakinkan pemain warisan ternama dari Eropah untuk menyertai revolusi Harimau Malaya. Dengan persiapan rapi ini, pasukan negara diharapkan dapat memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan baik apabila berdepan Nepal pada 25 Mac nanti.
