Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor, mengemukakan tiga cadangan bagi meningkatkan saingan Liga Malaysia susulan penurunan kehadiran penyokong ke stadium dan isu pengurusan kelab yang masih berlarutan.
Baginda mengkritik tindakan segelintir pihak yang culas dalam pembayaran gaji pemain tetapi sering menyalahkan Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Sebagai penyelesaian, Tunku Ismail mencadangkan supaya sistem Financial Fair Play (FFP) segera diperkenalkan bagi memastikan kestabilan kewangan setiap kelab dalam liga.
Selain itu, baginda juga menekankan kepentingan mewujudkan badan pengadil yang bebas daripada kawalan FAM bagi memastikan ketelusan dan mutu pengadilan dalam Liga Malaysia. Bagi mereka yang masih tidak berpuas hati dengan sistem sedia ada, Tunku Ismail turut mencadangkan agar kelab yang mempunyai kemampuan sendiri membayar pengadil luar negara untuk mengelakkan sebarang alasan atau teori konspirasi.
Kenyataan ini dibuat menjelang aksi separuh akhir Piala Malaysia yang bakal berlangsung minggu ini, melibatkan empat pasukan iaitu JDT, Terengganu, Sabah, dan Sri Pahang.
