Selasa, November 4, 2025

Youtuber Malaysia Dikecam, Netizen Seru Boikot Konten Palsu

Seorang Youtuber terkenal Malaysia, Ammar Nazhan, kini menjadi sasaran boikot netizen selepas terlibat dalam kontroversi kandungan palsu yang dikatakan memalukan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Kontroversi bermula apabila seorang influencer Malaysia, Eyka, dilaporkan hilang di sebuah hutan di Bandung, Indonesia ketika merakam kandungan bertemakan paranormal. Namun, selepas usaha mencari dilakukan, Ammar dan rakan-rakannya mendakwa berjaya menemui Eyka dengan melalui azan dan mengikut arah kiblat.

Selepas siasatan dijalankan, Polis Indonesia mengesahkan bahawa kehilangan Eyka hanyalah satu lakonan semata-mata untuk menarik tontonan dan perhatian di media sosial. Ammar dan rakannya, Arasz, mengaku mereka hanya berlakon dalam kandungan tersebut. Pihak berkuasa juga menegaskan bahawa walaupun pengurus wilayah setempat telah memberi kebenaran untuk merakam video, mereka tetap melanggar undang-undang Indonesia kerana tidak mendapat kelulusan rasmi dari pihak berkuasa negara itu.

Tindakan Ammar dan rakan-rakannya mencetuskan kemarahan netizen Malaysia yang menganggap perbuatan itu sebagai memalukan negara. Ramai mendesak agar Youtuber itu diboikot kerana sanggup menghasilkan konten sampah demi tontonan.

Sebelum ini, Ammar turut dikecam kerana membuat kandungan kontroversi melibatkan seorang wanita berpurdah. Video yang tular di X menunjukkan seorang wanita berpurdah cuba mendekati Ammar dan meminta untuk menjadi kawan, seolah-olah menggambarkan wanita berpurdah tidak menjaga batas dengan lelaki, bertentangan dengan nilai sebenar berpurdah dalam Islam.

Dengan beberapa kontroversi yang terus tercetus, adakah masa depan Ammar Nazhan sebagai Youtuber semakin terancam atau adakah netizen akan melupakan isu ini selepas beberapa ketika?

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU