Selasa, November 4, 2025

Penggunaan DeepSeek di AS Mungkin Berdepan Hukuman Penjara 20 Tahun

Amerika Syarikat kini sedang mempertimbangkan hukuman berat bagi individu atau syarikat yang menggunakan model kecerdasan buatan (AI) DeepSeek yang dibangunkan di China. Jika diluluskan, undang-undang baharu ini boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda sehingga $1 juta bagi individu, atau $100 juta bagi syarikat yang melanggar larangan tersebut.

Cadangan ini dikemukakan oleh Senator Republikan Josh Hawley, yang mahu memastikan warga Amerika Syarikat tidak menyumbang kepada perkembangan AI di China. Walaupun DeepSeek masih belum diharamkan sepenuhnya, penganalisis keselamatan AS telah memberi amaran bahawa data pengguna mungkin dihantar ke pelayan di China, menimbulkan kebimbangan besar terhadap risiko keselamatan siber dan pengintipan.

Negara lain seperti Australia dan Taiwan telahpun mengharamkan penggunaan DeepSeek pada peranti kerajaan dan penjawat awam atas faktor keselamatan. Ketegangan dalam perang teknologi AI antara AS dan China semakin meningkat selepas pelancaran DeepSeek R1, yang dikatakan lebih hebat daripada model AI berbayar OpenAI dan Meta, serta mampu beroperasi dengan kos lebih rendah tanpa memerlukan perkakasan canggih.

Keputusan akhir mengenai larangan ini masih belum dimuktamadkan, tetapi jika ia diluluskan, ia boleh memberi kesan besar kepada industri AI global dan hubungan teknologi antara AS dan China.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU