Google Play Protect sekali lagi membuktikan keberkesanannya dalam memastikan keselamatan pengguna Android dengan menghalang 2.36 juta aplikasi hasad daripada diterbitkan di Google Play Store sepanjang tahun 2024. Kerjasama dengan lebih 1.3 juta pembangun membantu memastikan tiada permintaan kebenaran mencurigakan dalam aplikasi yang dibangunkan.
Selain itu, sebanyak 158,000 pembangun berniat jahat berjaya dihalang, dan pemantauan aplikasi kini dilakukan secara lebih ketat dengan gabungan tenaga manusia serta kecerdasan buatan (AI). Google juga memastikan 91% aplikasi yang dipasang pada peranti Android 13 ke atas adalah selamat, sementara 80% pengguna kini lebih cenderung memasang aplikasi melalui Play Store berbanding muat sisi.
Bagi mereka yang masih memuat turun APK dari sumber luar, Play Protect telah mengesan 13 juta aplikasi berbahaya dan kini boleh menghalang akses kebenaran jika aplikasi cuba mengakses data sensitif. Selain itu, sebanyak 10 juta peranti berjaya dikesan mencuba memasang 200,000 aplikasi berbahaya sebanyak 36 juta kali.
Dengan lebih 200 bilion aplikasi diimbas setiap hari, Google Play Protect terus memperkukuh sistem keselamatan Android bagi memastikan pengguna dilindungi daripada ancaman siber yang semakin kompleks.
