Bekas pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof, tampil dengan pandangan yang rasional dan matang berkenaan kehadiran pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya yang kini menjadi tumpuan ramai. Walaupun tidak lagi aktif sebagai pemain profesional, Azmeer tetap mengikuti perkembangan bola sepak tanah air dan menyuarakan pendapatnya secara terbuka di laman Facebook.
Menurut Azmeer, pemain warisan secara fizikal tidak jauh berbeza dengan pemain tempatan. Namun, yang membezakan mereka adalah cara berfikir dan membuat keputusan di atas padang.
“Mereka ni (pemain warisan) sama saja macam kita. Dua tangan, dua kaki, dua mata, dua telinga, satu hidung, satu mulut, satu lidah. In syaa Allah sama sahaja fizikal kita dengan mereka. Yang membezakan kita dengan mereka ialah cara kita berfikir, cara kita bertindak dan cara kita buat keputusan.”
Beliau turut mengulas bahawa pemain warisan memiliki kelebihan berfikir beberapa langkah ke hadapan, sesuatu yang amat penting dalam permainan bola sepak moden.
“Mereka berfikir 3 ke 4 langkah ke hadapan. Sebelum mereka terima bola di kaki, mereka sudah berfikir apa yang hendak dibuat. Sebelum opponent bertindak, mereka sudah bertindak terlebih awal hingga membuatkan mereka sudah 2 ke 3 langkah di hadapan opponent.”
Satu lagi aspek penting yang diketengahkan Azmeer ialah ketenangan pemain warisan ketika beraksi, terutamanya apabila diasak pihak lawan. Bagi beliau, inilah antara perbezaan paling ketara dengan pemain tempatan.
“Cara sepak sama, guna bahagian depan kasut bola. Tanduk pun sama guna dahi. Mendada pun sama guna dada. Sliding tackle pun sama kena rebahkan badan. Yang tak sama kita dengan mereka ialah ketenangan. Mereka ni bahaya macam mana pun kadang-kadang cool lagi. Tapi kita ni dalam otak tahu nak clear je.”
Dalam nada yang penuh kedamaian, Azmeer juga menyeru agar penyokong dan peminat berhenti bergaduh tentang isu pemain warisan. Katanya, semua pendapat wajar diraikan, asalkan niatnya demi kemajuan bola sepak negara.
“Yang bersetuju, kita raikan. Yang tak bersetuju pun turut diraikan. Pendapat masing-masing.”
Pandangan Azmeer ini sewajarnya dijadikan cerminan bukan sahaja oleh pemain, malah penyokong juga. Dalam bola sepak, kejayaan bukan semata-mata hasil fizikal atau bakat, tetapi juga hasil cara berfikir, membuat keputusan, dan mengawal emosi dalam tekanan.
Akhirnya, seperti yang ditekankan Azmeer — kita mungkin berbeza pandangan, tetapi demi bola sepak Malaysia, kita tetap satu pasukan.
