Skuad Harimau Malaya kini menjadi bualan hangat media antarabangsa selepas mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027. Aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan skuad kendalian Peter Cklamovski tampil garang dan mendominasi sepanjang perlawanan.
Lima pemain warisan yang baru menyertai pasukan negara — Facundo Garces, Jon Irazabal, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado dan Joao Figueiredo — menjadi tunjang utama kejayaan Malaysia dalam perlawanan bersejarah itu.
Antara yang mencuri tumpuan ialah penyerang kelahiran Argentina, Rodrigo Holgado, yang melakukan penampilan sulung bersama Malaysia dan turut meledak satu gol. Aksi mantap Holgado bukan sahaja membanggakan penyokong tempatan, malah mendapat pujian daripada media antarabangsa.
Portal sukan terkenal, Sports Center ESPN, yang memiliki lebih 4.5 juta pengikut di platform X (Twitter), menulis:
“Debut dan gol untuk Rodrigo Holgado bersama Malaysia. Beliau menjaringkan gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027.”
“Pemain yang dilahirkan di La Tablada, pemain América de Cali adalah rakan sepasukan Angelito Correa dalam pasukan remaja San Lorenzo.”
Media lain seperti TNT Sports Chile, dengan hampir sejuta pengikut, turut menulis:
“Rodrigo Holgado, seorang penyerang terkemuka menjaringkan gol pertamanya dalam perlawanan pertamanya dengan pasukan kebangsaan Malaysia, dalam kemenangan 4-0 ke atas Vietnam pada pusingan ketiga Kelayakan Asia.”
“Penyerang itu mewakili negara Malaysia kerana neneknya mempunyai keturunan dari negara itu.”
Kemenangan ke atas Vietnam ini bukan sekadar tiga mata penting dalam kempen kelayakan, tetapi turut melonjak imej Harimau Malaya di mata dunia. Semangat baharu yang dibawa oleh pemain warisan, ditambah dengan taktikal mantap Cklamovski, jelas memperlihatkan transformasi besar dalam skuad kebangsaan.
Kini, peminat tempatan menaruh harapan tinggi agar momentum ini dapat diteruskan bagi merealisasikan impian layak ke pentas Asia secara konsisten.
Harimau Malaya, terus mengaum! 🐯🔥
