Selasa, November 4, 2025

Tarif Elektrik Naik? Anwar Nafi 14%, Tapi Kenaikan Tetap Ada!

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan meningkat sebanyak 14% pada Julai ini. Namun, beliau mengesahkan kenaikan tarif dijangka berlaku pada separuh kedua tahun ini selepas semakan semula dilakukan.

Menurut Anwar, pelarasan ini akan dibuat berdasarkan harga semasa dan kapasiti tenaga pada waktu tertentu. Beliau menegaskan kadar Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) bukan 14% seperti yang didakwa.

“Saya tidak fikir ia akan terlalu membebankan atau merugikan masyarakat. Tapi, sudah pasti ia bukan seperti yang dikatakan,” katanya selepas mendapatkan pengesahan daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul.

Sebelum ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencadangkan jadual tarif baharu yang berpotensi meningkat 14.2% kepada 45.62 sen/kWj bagi tempoh 2025 hingga 2027. Namun, Menteri Tenaga, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 27 Disember lalu memaklumkan tiada keputusan rasmi mengenai kenaikan tersebut.

Sebarang pelarasan tarif elektrik akan ditentukan berdasarkan kajian rangka kerja kawal selia sektor tenaga negara.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU