Selasa, November 4, 2025

Selangor Ke Final MFL Challenge Cup, Kinoshi Puji Disiplin & Kerja Keras Pemain!

Selangor FC melangkah ke final MFL Challenge Cup selepas menewaskan Penang FC 1-0 dalam aksi separuh akhir di Kelana Jaya. Gol tunggal perlawanan disumbangkan pemain sayap lincah, Alvin Fortes pada minit ke-65, memastikan agregat 2-0 memihak kepada The Red Giants.

Pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi memuji kerja keras serta disiplin tinggi yang ditunjukkan anak buahnya sepanjang perlawanan. Menurutnya, walaupun Selangor hanya perlu seri untuk mara ke final selepas kemenangan 1-0 di tempat lawan, beliau tetap menegaskan kepada pemain bahawa mereka perlu bermain untuk menang.

“Ini aksi kedua dan kami tahu keputusan seri sudah mencukupi untuk layak ke final. Tapi saya beritahu pemain, kita mesti menang. Saya mahu mereka kekal agresif dan tidak terlalu bertahan,” ujar Kinoshi dalam sidang media selepas perlawanan.

Walaupun menguasai permainan, Selangor terpaksa berdepan asakan bertali arus daripada Penang yang bermain lebih agresif dalam usaha mencari gol penyamaan. Beberapa percubaan pasukan pelawat nyaris menghasilkan gol, namun Selangor bernasib baik apabila penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz, tampil dengan aksi cemerlang selain beberapa percubaan Penang terkena tiang.

“Kami ada memberi ruang buat Penang menyerang, tetapi Kalamullah beraksi cemerlang. Ada percubaan terkena tiang, dan pertahanan kami juga bekerja keras untuk mengekang asakan lawan,” tambah Kinoshi.

Kejayaan mara ke final disifatkan hasil kerja keras pemain yang tidak pernah berputus asa sepanjang perlawanan. “Mereka tidak hanya menunggu lawan membuat kesilapan. Sebaliknya, pemain saya terus mencabar bola tinggi dan bertahan dengan baik. Ini kemenangan yang mereka usahakan sepenuhnya,” katanya.

Menanti Selangor di pentas final adalah PDRM FC, yang berjaya menyingkirkan Kedah dalam aksi dramatik menerusi penentuan sepakan penalti selepas agregat 4-4. Dengan momentum yang semakin meningkat, mampukah Selangor menamatkan saingan dengan menjulang kejuaraan?

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU