Selangor FC berpotensi menghantar skuad muda mereka beraksi dalam saingan Singapore Premier League (SPL) sekiranya Piala MFL tidak dianjurkan musim depan.
Kemungkinan ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, yang menjelaskan bahawa pasukan perlu mencari alternatif jika tiada kejohanan domestik untuk skuad muda mereka.
“Kita perlu teroka (kemungkinan itu) sebab kita ada satu skuad yang mungkin tiada tempat nak main, kalau tiadalah. Kalau ada, kita terus ikut sahaja.
“Sebab kita sudah tandatangani pemain. Dan kita difahamkan ada pasukan yang tiada atau tiada perancangan nak sertai. Kita tak tahu pendirian rasmi MFL tentang hal ini,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan pembukaan permohonan kepada kelab yang berminat mengisi slot ke-10 dalam SPL bagi meningkatkan daya saing liga menjelang musim 2025/26. Kelab yang berminat boleh mengemukakan permohonan kepada FAS sebelum 14 Mac 2025.
Jika Selangor FC mengambil langkah ini, mereka akan menjadi kelab Malaysia pertama menghantar skuad muda ke SPL, membuka peluang baharu dalam perkembangan pemain muda dan persaingan serantau.
