Polis Indonesia mengesahkan bahawa kejadian kehilangan seorang rakan YouTuber terkenal, Ammar Nazhan, di hutan Bandung hanyalah rekaan semata-mata. Insiden tersebut dikatakan sengaja direka untuk menarik perhatian dan meningkatkan jumlah tontonan di media sosial.
Meskipun Ammar menafikan dakwaan itu, siasatan pihak berkuasa mendapati bahawa kejadian tersebut tidak benar. Tindakan ini mengundang kecaman ramai, dengan netizen menyuarakan rasa marah dan kecewa terhadap cubaan memperdaya orang ramai demi populariti.
Menurut Undang-Undang Nombor 11 Tahun 2008 berkaitan Informasi dan Transaksi Elektronik (Pasal 14), penyebaran berita palsu di Indonesia adalah satu kesalahan serius. Jika didapati bersalah, hukuman maksimum boleh mencecah 10 tahun penjara serta denda sebanyak RM271,000.
Polis Indonesia menegaskan bahawa tindakan kumpulan tersebut adalah tidak wajar kerana tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa, walaupun telah memperoleh kelulusan daripada pengurus wilayah setempat. Akibat tekanan dan kecaman hebat, Ammar dan kumpulannya telah meminta maaf serta mengeluarkan kenyataan bertulis dan video pengakuan untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Insiden ini mencetuskan kemarahan ramai yang menganggap perbuatan menyebarkan maklumat palsu sebagai tidak bertanggungjawab. Netizen berharap pihak berkuasa mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada content creator lain agar tidak menggunakan taktik murahan demi meraih tontonan dan populariti di media sosial.
