Selasa, November 4, 2025

Elon Musk Mahu Beli OpenAI, Sam Altman Sindir Nak Beli Twitter

Elon Musk hari ini mengumumkan bahawa beliau bersama sekumpulan pelabur bercadang membida bahagian tidak berasaskan keuntungan OpenAI dengan nilai $97.4 bilion.

Untuk makluman, OpenAI kini dikawal oleh badan tidak berasaskan keuntungan, yang mengehadkan penjanaan keuntungan serta perkongsian sahamnya. Namun, OpenAI sebelum ini telah mengumumkan hasrat untuk mengubah struktur syarikat, membuka ruang kepada pelaburan dan potensi keuntungan yang lebih besar.

Musk, yang juga antara pengasas awal OpenAI, menyatakan beliau mahu mengembalikan OpenAI kepada model sumber terbuka serta memfokuskan semula kepada keselamatan pembangunan AI, selari dengan visi asal syarikat. Sebelum ini, Musk juga telah memfailkan saman terhadap OpenAI, mendakwa syarikat itu menyimpang daripada misi asal untuk membangunkan kecerdasan buatan secara terbuka.

Sebagai respons, Sam Altman, CEO OpenAI, menolak cadangan penjualan syarikat itu. Malah, dalam nada menyindir, Altman berkata beliau sanggup membeli Twitter dengan harga $9.74 bilion sekiranya Elon Musk mahu menjualnya.

Walaupun ini mungkin sekadar sindiran, ia mencerminkan ketegangan antara dua tokoh teknologi ini, terutama selepas OpenAI berkembang pesat dengan model AI seperti ChatGPT, manakala Twitter—kini dikenali sebagai X—berdepan pelbagai cabaran sejak diambil alih oleh Musk.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU