Penyerang Terengganu FC, Nelson Bonilla, akhirnya menarik nafas lega selepas berjaya menyempurnakan penalti dalam kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan FC pada 9 Februari lalu. Gol tersebut bukan sahaja membantu pasukan meraih tiga mata berharga, malah menyuntik semula keyakinan dalam dirinya selepas beberapa perlawanan tanpa jaringan.
Meskipun Terengganu baru sahaja mengharungi aksi sengit dalam Shopee Cup menentang BG Pathum United, skuad Peteh tetap berjaya mengekalkan momentum kemenangan dalam saingan Liga Super. Selain Bonilla, Nurillo Tukhtasinov turut mencatat nama sebagai penjaring.
Bonilla mengakui sebagai seorang penyerang, dia sentiasa mahu menjaringkan gol, tidak kira bagaimana prestasi permainannya. Jaringan penalti ini diharapkan menjadi titik kebangkitan buatnya menjelang aksi menentang KL City FC pada 14 Februari di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Setakat ini, pemain El Salvador itu telah menjaringkan tiga gol dalam 14 perlawanan sejak menyertai Terengganu dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia. Dengan keyakinan yang semakin meningkat, bisa bekas penyerang Sukhothai FC ini bakal ditagih untuk terus membantu pasukan mengekalkan rentak kemenangan dalam saingan liga.
