Pelancaran model kecerdasan buatan (AI) DeepSeek R1 secara sumber terbuka minggu lalu telah menyebabkan syarikat teknologi Amerika mengalami kerugian besar, dengan nilai saham keseluruhan merosot sebanyak $1 trilion. DeepSeek R1, yang dikatakan dibangunkan dengan kos lebih rendah dan menggunakan perkakasan yang kurang canggih, berjaya mengatasi model AI OpenAI, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam industri teknologi AS.
Terkini, Rumah Putih dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dilaporkan akan memulakan siasatan terhadap DeepSeek, yang berpangkalan di Hangzhou, China, atas dakwaan mengakses cip NVIDIA secara haram. Syarikat itu dipercayai memperoleh cip berkuasa tinggi melalui pihak ketiga di Singapura, yang merupakan pusat utama bagi 20% jualan NVIDIA tahun lalu. Walaupun cip tersebut dijual mengikut undang-undang, terdapat dakwaan ia dijual semula kepada pelanggan luar negara, termasuk China.
Amerika Syarikat sebelum ini telah mengenakan sekatan terhadap penjualan cip AI kepada China bagi menghalang penggunaan teknologi canggih dalam pusat data negara tersebut. Sebagai tindak balas, NVIDIA menghasilkan cip khas dengan keupayaan pemprosesan yang dikurangkan untuk pasaran China. Sekatan ini diperketatkan lagi di bawah pentadbiran Joe Biden, dengan negara seperti Malaysia, Singapura, dan Israel diberikan kuota khas untuk pembelian cip AI.
NVIDIA telah menyatakan bahawa mereka hanya menjual produk kepada pelanggan yang mematuhi undang-undang sedia ada dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat sebarang pelanggaran. Dengan siasatan yang bakal dijalankan, perkembangan ini dijangka memberi kesan besar terhadap persaingan AI global, terutamanya antara AS dan China.
